24 September 2008

Kifarah (denda)

Kifarah (denda)

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah. Iaitu berpuasa, atau bersedekah, atau menyembelih dam. Kemudian apabila kamu berada kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah, (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) ibadat haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati. Kalau dia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing); semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna. Hukum ini ialah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) masjid Al-Haram (Makkah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah; dan ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang-orang yang melanggar perintah-Nya).”

(Al-Baqarah: 196)

“Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kafarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar ‘diat’ (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepada ahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka sedekahkan (memaafkannya). Tetapi jika dia (yang terbunuh dengan tidak sengaja) dari kaum (kafir) yang memusuhi kamu, sedang dia sendiri beriman, maka (wajiblah si pembunuh membayar kafarah sahaja dengan) memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dan jika dia (orang yang terbunuh dengan tidak sengaja itu) dari kaum (kafir) yang ada ikatan perjanjian setia di antara kamu dengan mereka, maka wajiblah membayar ‘diat’ (denda ganti nyawa) kepada keluarganya serta memerdekakan seorang hamba yang beriman. Dalam pada itu, sesiapa yang tidak dapat (mencari hamba yang akan dimerdekakannya), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut; (hukum yang tersebut) datangnya dari Allah untuk menerima taubat (membersihkan diri kamu). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(an-Nisa’: 92)

“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah/peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (hukum-hukum agama-Nya) supaya kamu bersyukur.”

(Al-Maidah: 89)

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kafarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa sebanyak bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin; supaya dapat dia merasai kesan yang buruk dari perbuatannya. Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.”

(Al-Maidah: 95)

“Dan orang-orang yang ‘ziharkan’ isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Al-Mujadalah: 3-4)

Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

23 September 2008

Fidyah

Fidyah

Ibnu Umar ditanya tentang seorang wanita yang hamil jika bimbangkan anaknya. Beliau menjawab: “Berbukalah dan gantinya memberi makan satu mud gandum setiap hari kepada orang miskin.”

[H.R. Al-Baihaqi]

Kata Ibnu Umar: “Seseorang wanita hamil dan menyusukan anak boleh berbuka dan tidak mengqadha.”

[H.R. Daruquthni]

Ibnu Abbas ra. melihat hamba perempuan hamil atau menyusukan anak, maka beliau berkata: “Engkau termasuk orang yang tidak mampu berpuasa, engkau wajib membayar fidyah dan tidak perlu mengqadha.”

[H.R. daruquthni]

“Barangsiapa di antara kamu ada yang sakit atau musafir, maka gantilah di hari-hari yang lain.”

(Al-Baqarah: 184)

“Dan bagi orang-orang yang tidak mampu puasa, (hendaklah) membayar fidyah makanan untuk orang miskin.”

(Al-Baqarah: 184)
Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

22 September 2008

Qadha

Qadha

Kata Aisyah ra.: “Aku mempunyai hutang puasa Ramadhan dan tidak dapat mengqadhanya kecuali di bulan Syaaban.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Bersegeralah kamu untuk mendapatkan keampunan dari Tuhan-mu.”

(Ali Imran: 133)

· Tidak wajib berturutan

“...ganti (puasa) di hari-hari yang lain......”

(Al-Baqarah: 185)

· Meninggal dunia

“Barangsiapa yang mati dan mempunyai hutang puasa nazar, hendaklah diganti oleh walinya.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Datang seseorang kepada Nabi s.a.w lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sesungguhnya ibuku meninggal dunia dan dia mempunyai hutang puasa setahun, apakah aku harus membayarnya?” Rasulullah menjawab: “Ya, hutang kepada Allah lebih berhak untuk dibayar.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Kata Ibnu Abbas ra.: “Jika salah seorang kamu sakit di bulan Ramadhan, kemudian mati sebelum sempat puasa, dibayarkan fidyah dan tidak perlu qadha, kalau mempunyai hutang nazar, diqadha oleh walinya.”

[H.R. Abu Daud]

Saad bin Ubadah bertanya kepada Nabi s.a.w: “Ibuku telah meninggal dan mempunyai hutang puasa nazar.” Jawab Nabi s.a.w: “Qadhalah untuknya.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]
Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

21 September 2008

Zakat fitrah

Zakat fitrah

· Hukum

Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah kepada manusia pada bulan Ramadhan.

· Siapa wajib bayar?

Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah sebanyak satu sya’ kurma atau satu sya’ gandum ke atas hamba dan orang merdeka, kecil dan besar dari kalangan muslimin.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah pensuci bagi orang yang puasa dari perbuatan sia-sia, buruk dan makanan bagi kaum miskin.

· Jenis-jenis zakat fitrah

Kami (Abu Said Al-Khudri) mengeluarkan zakat pada zaman Rasulullah satu sya’ makanan, satu sya’ gandum, satu sya’ kurma, satu sya’ susu kering, satu sya’ anggur kering.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah mewajibkan satu sya’ gandum, stu sya’ kurma, satu sya’ garam.

[H.R. Ibnu Khuzaimah]

Rasulullah s.a.w. menyuruh kami (Ibnu Abbas ra.) mengeluarkan zakat dari anak kecil, besar, hamba dan merdeka, barangsiapa yang memberi siltan (sejenis gandum yang tidak berkulit) diterima, yang membawa anggur kering diterima, aku kira baginda juga berkata: “Barangsiapa yang membawa tepung diterima, barangsiapa yang membawa adunan diterima.

[H.R. Ibnu Khuzaimah]

· Waktu

“...barangsiapa menunaikan zakatnya sebelum solat, maka dia adalah zakat yang diterima dan barangsiapa yang menunaikan zakat sesudah solat, maka dia adalah sedekah dari beberapa sedekah.”
Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

20 September 2008

Iktikaf

Iktikaf

Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Syawal.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Umar bertanya kepada Nabi s.a.w: “Dahulu aku bernazar beriktikaf pada malam hari di masjidil haram pada zaman jahiliah dahulu?” Baginda menjawab: “Tunaikanlah nazarmu.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Rasulullah sering beriktikaf di setiap bulan Ramadhan selama sepuluh hari dan apabila tiba tahun di mana baginda diwafatkan padanya, baginda beriktikaf selama dua puluh hari.

[H.R. Bukhari]

· Syarat iktikaf

“Dan janganlah kamu mencampuri mereka itu sedangkan kamu beriktikaf di dalam masjid.”

(Al-Baqarah: 187)

“Tidak ada iktikaf kecuali di tiga masjid sahaja (masjidil Haram, masjid An-Nabawi, Masjid Al-Aqsa)”

· Boleh dilakukan masa iktikaf

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah memasukkan kepalanya kepadaku di masjid, kemudian aku sikat rambutnya dan jika beriktikaf baginda tidak memasuki rumah kecuali untuk menunaikan hajat manusia.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Nabi s.a.w berwuduk dalam masjid dengan wuduk yang ringan.

[H.R. Ahmad]

Aisyah ra. membuat khemah apabila beliau beriktikaf dan perkara ini atas perintah Nabi s.a.w.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Nabi s.a.w jika beriktikaf dihamparkan untuknya tilam atau diletakkan untuknya katil di belakang tiang at-Taubah.

[H.R. Ibnu Majah]

Nabi s.a.w beriktikaf pada sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan hingga Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda beriktikaf sesudah itu.
Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

19 September 2008

Lailatul qadar

Lailatul qadar

· Keutamaan

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu (1000) bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!”

(Al-Qadar: 1-5)

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhan-mu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hamba-Nya).”

(Ad-Dukhan: 3-6)

· Waktu

“Carilah malam lailatul qadar pada malam ganjil 10 (21, 23, 25, 27, 29) hari terakhir bulan Ramadhan.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Carilah pada 10 hari terakhir, jika tidak mampu, jangan tertinggal tujuh hari (25, 27, 29) sisanya.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

· Cara mencari

“Barangsiapa yang berdiri (solat) pada malam lailatul qadar dengan penuh iman dan ihtisab, diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Tanya Aisyah r.a.: “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu bila malam lailatul qadar, apa yang aku ucapkan?” Baginda menjawab: “Ucapkanlah: “Ya Allah, Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku”

[H.R. At-Tirmidzi]

Kata Aisyah r.a.: “Rasulullah s.a.w. jika telah masuk sepuluh hari terakhir, mengencangkan kainnya, menghidupkan malamnya, membangunkan isterinya.”

Kata Aisyah r.a.: “Rasulullah s.a.w. bersungguh-sungguh ibadah pada sepuluh hari terakhir yang tidak pernah dilakukannya di waktu lain.”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

· Petunjuk

Dari Ubay ra.: “Pagi hari malam lailatul qadar, matahari terbit tidak menyilaukan mata seperti bekas air meninggi.”

[H.R. Muslim]

“Lailatul qadar adalah malam yang indah, cerah, tidak panas dan tidak sejuk, keesokan harinya cahaya sinar mataharinya lemah kemerah-merahan.”

[H.R. Ibnu Khuzaimah]

Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

18 September 2008

Solat tarawih

Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat sunat malam yang biasa seperti bulan yang lain kecuali fadhilatnya. Kita sahaja yang memaknakan solat ini dengan istilah tertentu. Tiada bacaan tertentu diajar Nabi s.a.w. antara dua rakaat tarawih.

“Pada suatu malam, Rasulullah s.a.w. keluar dan solat di masjid, orang-orang pun turut solat bersamanya dan mereka membincangkan solat tersebut hingga berkumpullah orang ramai, ketika baginda solat, mereka pun ikut solat bersamanya, mereka pun membincangkan lagi hingga bertambah banyak penghuni masjid pada malam ketiga. Rasulullah pun keluar dan solat, ketika malam keempat, masjid tidak mampu menampung jamaah hingga baginda hanya keluar untuk melakukan solat subuh, baginda menghadap manusia, bersyahadah dan berkata: “Ketahuilah, aku tahu perbuatan kamu semalam, namun aku bimbang diwajibkan ke atas kamu sehinga kamu tidak mampu mengamalkannya.” Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan tidak pernah lagi melakukan solat tarawih dengan berjamaah.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Aku (Abdul Rahman Abdin Al-Qary) keluar bersama Umar bin Al-Khattab r.a. pada suatu malam di bulan Ramadhan ke masjid. Ketika itu manusia berkumpul-kumpulan (berpisah-pisah). Ada yang solat sendirian dan ada yang berjamaah, maka Umar berkata: “Aku berpendapat kalau mereka dikumpulkan dalam satu imam, nescaya akan lebih baik.” Kemudian beliau mengumpulkan mereka dalam satu jamaah dengan berimamkan Ubay bin Kaab. Sesudah itu, aku keluar bersamanya pada suatu malam, sedang manusia solat bersama imam mereka. Umar pun berkata: “Sebaik-baik bidaah adalah ini (menghidupkan sunnah Nabi s.a.w.yang ditinggalkan)......”

[H.R. Bukhari]

· Jumlah rakaat

Rasulullah s.a.w. tidak pernah menambah solat malam di bulan Ramadhan atau lainnya lebih dari sebelas rakaat.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Nabi s.a.w menghidupkan malam bulan Ramadhan bersama manusia lapan rakaat kemudian solat witir.

[H.R. Ibnu Hibban]

Dari Aisyah berkata: “Pernah Rasulullah s.a.w. solat malam tiga belas rakaat, baginda berwitir dari yang tiga belas rakaat dengan lima rakaat, baginda tidak duduk dalam solat witir yang lima rakaat tersebut kecuali pada rakaat yang terakhir.”

Abu Dzar al-Ghafiri ra. menerangkan bahawa: Kami berpuasa bersama Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam. Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai, maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”

[H.R. An-Nasa'i]

Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.”

[H.R. Bukhari]

· Witir

“Solat witir (waktunya) ialah antara (selepas) solat Isyak sehingga terbitnya fajar (subuh)”.

[H.R. Ahmad].

Dari Aisyah r.a. berkata: “Dari kesemua malam sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat witir iaitu dipermulaan malam, ditengah malamnya dan diakhir malamnya dan (waktu) witir berakhir sampai sahur (terbit fajar)”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Sesiapa yang takut tidak dapat bangun diakhir malam, maka hendaklah dia solat witir pada awal malamnya dan sesiapa yang dapat bangun di akhir malamnya, maka hendaklah dia witir di akhir malamnya kerana sesungguhnya solat diakhir malam itu disaksikan dan yang demikian itu lebih utama”.

[H.R. Muslim]

Dari Abu Hurairah berkata: Telah berwasiat kepadaku kekasihku Nabi s.a.w. dengan tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan tiga hari, solat dhuha dua rakaat dan supaya aku solat witir sebelum aku tidur”.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Tidak ada dua witir pada satu malam”

[H.R. Ahmad]

“Dan sesiapa yang mahu berwitir satu rakaat, maka lakukanlah”.

[H.R. Abu Daud]

“Maka baginda memulakan dengan solat dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat dan kemudian berwitir satu rakaat”.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Janganlah kamu witir dengan tiga rakaat (jangan menyerupai Maghrib), berwitirlah dengan lima rakaat atau tujuh rakaat. Dan janganlah (witir kamu) menyerupai

solat Maghrib”

[H.R. Daruquthni]

“Solat witir itu adalah haq. Maka sesiapa yang suka berwitir dengan lima rakaat, maka lakukanlah, sesiapa yang berwitir dengan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang solat witir dengan satu rakaat maka kerjakanlah”

[H.R. Abu Daud]

Dari Ubay bin Ka’ab: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. membaca dalam solat witir (di rakaat pertama): Sabbihisma Rabbikal A’la. Dirakaat kedua: Qul Ya ayyuhul Kafirun. Dirakaat yang ketiga: Qul Huwallahu Ahad”

[H.R. An-Nasa'i]

Dari Ummi Salamah dia berkata: Rasulullah s.a.w. pernah solat witir tujuh rakaat dan lima rakaat dengan tidak memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut dengan salam atau perkataan”

[H.R. Ahmad]

Dari Zaid bin Khalid al-Juhani bahawasanya dia berkata: Aku pernah memerhatikan dengan teliti cara solat malamnya Rasulullah s.a.w. Baginda memulakan dengan dua rakaat yang ringan (pendek bacaannya), kemudian solat dua rakaat yang amat panjang (panjang bacaannya), kemudian solat dua rakaat yang kurang panjang dari sebelumnya, dua rakaat yang kurang panjang dari sebelumnya, kemudian solat lagi dua rakaat yang lamanya kurang dari dua rakaat yang sebelumnya, lalu solat lagi dua rakaat yang lamanya kurang dari dua rakaat sebelumnya, kemudian solat lagi yang lamanya kurang dari dua rakaat sebelumnya, kemudian baginda solat witir satu rakaat, maka semuanya tiga belas rakaat”

[H.R. Muslim]
Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.