18 September 2008

Solat tarawih

Solat tarawih

Solat tarawih adalah solat sunat malam yang biasa seperti bulan yang lain kecuali fadhilatnya. Kita sahaja yang memaknakan solat ini dengan istilah tertentu. Tiada bacaan tertentu diajar Nabi s.a.w. antara dua rakaat tarawih.

“Pada suatu malam, Rasulullah s.a.w. keluar dan solat di masjid, orang-orang pun turut solat bersamanya dan mereka membincangkan solat tersebut hingga berkumpullah orang ramai, ketika baginda solat, mereka pun ikut solat bersamanya, mereka pun membincangkan lagi hingga bertambah banyak penghuni masjid pada malam ketiga. Rasulullah pun keluar dan solat, ketika malam keempat, masjid tidak mampu menampung jamaah hingga baginda hanya keluar untuk melakukan solat subuh, baginda menghadap manusia, bersyahadah dan berkata: “Ketahuilah, aku tahu perbuatan kamu semalam, namun aku bimbang diwajibkan ke atas kamu sehinga kamu tidak mampu mengamalkannya.” Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan tidak pernah lagi melakukan solat tarawih dengan berjamaah.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Aku (Abdul Rahman Abdin Al-Qary) keluar bersama Umar bin Al-Khattab r.a. pada suatu malam di bulan Ramadhan ke masjid. Ketika itu manusia berkumpul-kumpulan (berpisah-pisah). Ada yang solat sendirian dan ada yang berjamaah, maka Umar berkata: “Aku berpendapat kalau mereka dikumpulkan dalam satu imam, nescaya akan lebih baik.” Kemudian beliau mengumpulkan mereka dalam satu jamaah dengan berimamkan Ubay bin Kaab. Sesudah itu, aku keluar bersamanya pada suatu malam, sedang manusia solat bersama imam mereka. Umar pun berkata: “Sebaik-baik bidaah adalah ini (menghidupkan sunnah Nabi s.a.w.yang ditinggalkan)......”

[H.R. Bukhari]

· Jumlah rakaat

Rasulullah s.a.w. tidak pernah menambah solat malam di bulan Ramadhan atau lainnya lebih dari sebelas rakaat.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

Nabi s.a.w menghidupkan malam bulan Ramadhan bersama manusia lapan rakaat kemudian solat witir.

[H.R. Ibnu Hibban]

Dari Aisyah berkata: “Pernah Rasulullah s.a.w. solat malam tiga belas rakaat, baginda berwitir dari yang tiga belas rakaat dengan lima rakaat, baginda tidak duduk dalam solat witir yang lima rakaat tersebut kecuali pada rakaat yang terakhir.”

Abu Dzar al-Ghafiri ra. menerangkan bahawa: Kami berpuasa bersama Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan. Baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga baki tujuh malam terakhir. Lalu (pada malam tersebut) baginda bersolat (Tarawih) bersama kami sehingga sepertiga malam. Kemudian baginda tidak bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam keenam (sebelum akhir Ramadhan). Baginda bersolat (Tarawih) bersama kami pada malam kelima (sebelum akhir Ramadhan) sehingga seperdua malam. Maka saya (Abu Dzar) berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika kamu memberi keringanan kepada kami pada malam ini.” Rasulullah menjawab: “Sesungguhnya sesiapa yang bersolat (Tarawih) bersama imam sehingga selesai, maka Allah Menulis baginya (ganjaran seumpama) bersolat sepanjang malam.”

[H.R. An-Nasa'i]

Seorang lelaki datang kepada Nabi s.a.w., ketika itu baginda sedang berkhutbah. Lelaki itu bertanya: “Bagaimana cara solat malam?” Baginda menjawab: “Dua rakaat dua rakaat, maka apabila kamu bimbang waktu Subuh akan masuk, maka tutupilah solat-solat kamu itu dengan satu rakaat solat Witir.”

[H.R. Bukhari]

· Witir

“Solat witir (waktunya) ialah antara (selepas) solat Isyak sehingga terbitnya fajar (subuh)”.

[H.R. Ahmad].

Dari Aisyah r.a. berkata: “Dari kesemua malam sesungguhnya Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat witir iaitu dipermulaan malam, ditengah malamnya dan diakhir malamnya dan (waktu) witir berakhir sampai sahur (terbit fajar)”

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Sesiapa yang takut tidak dapat bangun diakhir malam, maka hendaklah dia solat witir pada awal malamnya dan sesiapa yang dapat bangun di akhir malamnya, maka hendaklah dia witir di akhir malamnya kerana sesungguhnya solat diakhir malam itu disaksikan dan yang demikian itu lebih utama”.

[H.R. Muslim]

Dari Abu Hurairah berkata: Telah berwasiat kepadaku kekasihku Nabi s.a.w. dengan tiga perkara: Berpuasa pada setiap bulan tiga hari, solat dhuha dua rakaat dan supaya aku solat witir sebelum aku tidur”.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Tidak ada dua witir pada satu malam”

[H.R. Ahmad]

“Dan sesiapa yang mahu berwitir satu rakaat, maka lakukanlah”.

[H.R. Abu Daud]

“Maka baginda memulakan dengan solat dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat, kemudian dua rakaat dan kemudian berwitir satu rakaat”.

[H.R. Al-Bukhari dan Muslim]

“Janganlah kamu witir dengan tiga rakaat (jangan menyerupai Maghrib), berwitirlah dengan lima rakaat atau tujuh rakaat. Dan janganlah (witir kamu) menyerupai

solat Maghrib”

[H.R. Daruquthni]

“Solat witir itu adalah haq. Maka sesiapa yang suka berwitir dengan lima rakaat, maka lakukanlah, sesiapa yang berwitir dengan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang solat witir dengan satu rakaat maka kerjakanlah”

[H.R. Abu Daud]

Dari Ubay bin Ka’ab: “Sesungguhnya Nabi s.a.w. membaca dalam solat witir (di rakaat pertama): Sabbihisma Rabbikal A’la. Dirakaat kedua: Qul Ya ayyuhul Kafirun. Dirakaat yang ketiga: Qul Huwallahu Ahad”

[H.R. An-Nasa'i]

Dari Ummi Salamah dia berkata: Rasulullah s.a.w. pernah solat witir tujuh rakaat dan lima rakaat dengan tidak memisahkan antara rakaat-rakaat tersebut dengan salam atau perkataan”

[H.R. Ahmad]

Dari Zaid bin Khalid al-Juhani bahawasanya dia berkata: Aku pernah memerhatikan dengan teliti cara solat malamnya Rasulullah s.a.w. Baginda memulakan dengan dua rakaat yang ringan (pendek bacaannya), kemudian solat dua rakaat yang amat panjang (panjang bacaannya), kemudian solat dua rakaat yang kurang panjang dari sebelumnya, dua rakaat yang kurang panjang dari sebelumnya, kemudian solat lagi dua rakaat yang lamanya kurang dari dua rakaat yang sebelumnya, lalu solat lagi dua rakaat yang lamanya kurang dari dua rakaat sebelumnya, kemudian solat lagi yang lamanya kurang dari dua rakaat sebelumnya, kemudian baginda solat witir satu rakaat, maka semuanya tiga belas rakaat”

[H.R. Muslim]
Jom puasa mengikut cara Nabi s.a.w.

Tiada ulasan: